Followers

Sunday, July 10, 2011

Pasukan polis tidak harus dipersalahkan atas kematian seorang penyokong perhimpunan Bersih 2.0

UALA LUMPUR, 10 Julai — Pasukan polis tidak harus dipersalahkan atas kematian seorang penyokong perhimpunan Bersih 2.0 Baharuddin Ahmad, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Sambil berkata kematian Baharuddin disebabkan masalah kesihatan, Najib mempertahankan cara polis menangani perhimpunan semalam.

“(Kematian dia) bukan kerana perhimpunan. Ia disebabkan (masalah) kesihatan. Tiada kontak fizikal (polis) dengan penunjuk perasaan,” kata Najib kepada pemberita selepas Majlis Penerangan Perdana anjuran Umno di sini hari ini.

Laporan langsung dan saksi menunjukkan pihak polis terlibat dalam kontak fizikal dengan penyokong-penyokong Bersih dalam usaha menghalang perhimpunan gabungan itu.

Polis melepaskan air dan gas pemedih mata ke arah peserta perhimpunan Bersih 2.0 dan kumpulan perhimpunan balas Patriot diketuai Pemuda Umno.

“Saya bangga dengan apa yang dilakukan oleh polis semalam, (mereka) bertindak secara profesional.

“Mereka (polis) mengambil berat tentang mereka yang ditahan, mereka berikan makanan percuma,” kata Najib.

Lewat malam tadi, PAS mengecam pendekatan pihak berkuasa menangani Himpunan Bersih 2.0 semalam yang disifatkannya sebagai “ganas” sambil menegaskan, Putrajaya perlu bertangggungjawab ke atas kematian seorang peserta perhimpunan itu.

Naib Presiden PAS Datuk Paduka Husam Musa berkata, Baharuddin meninggal dunia akibat sesak nafas selepas terkena semburan air berasid dan gas pemedih mata di kawasa Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Baharuddin, 58, seorang ahli PAS dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur disahkan meninggal dunia petang semalam.

Difahamkan suami kepada Ketua Wanita PKR cabang Setiawangsa Rosni Melan itu melarikan diri daripada terkena semburan air berasid dan gas pemedih mata sebelum pengsan.

No comments: