Followers

Sunday, August 16, 2009

Umno: Peluang tunjuk 3 mesej 'protes keras' buat Pakatan


SEBERANG PRAI: Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang mahu pengundi-pengundi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir menggunakan peluang pilihan raya kecil kali ini, yang bermula esok, untuk menyampaikan mesej protes yang keras kepada ketiga-tiga komponen Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Othman berharap pengundi DUN Permatang Pasir akan menggunakan pilihan raya kecil ini sebagai "satu peluang menyampaikan mesej tidak senang hati" kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelatan; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Dengan mengundi calon BN (Rohaizat Othman) orang-orang Melayu boleh memberi isyarat bahawa Nik Aziz tidak boleh membenarkan orang-orang bukan Melayu boleh menghina agama Islam.

"Kira-kira 73 peratus pengundi di kawasan Permatang Pasir merupakan orang Melayu, orang Islam... ini peluang yang baik untuk memberitahu Nik Aziz bahawa orang bukan Melayu tidak boleh menghina agama Islam dan beliau tidak harus memberi lesen kepada orang lain untuk menghina Islam," kata beliau ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Permatang Pauh di Politeknik Seberang Perai dekat sini pagi tadi.

Kata beliau, apabila jumlah undi kepada BN meningkat kali ini ia akan memberikan isyarat yang jelas bahawa masyarakat beragama Islam tidak berpuas hati dengan tindak tanduk Nik Aziz.

Hari mengundi pilihan raya kecil ialah pada 25 Ogos. Ia diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman pada 31 Julai lalu.

PAS terdesak mahu serang peribadi Calon BN

SEBERANG PRAI: Calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman sudah bersedia untuk menyangkal apa jua tuduhan yang bakal dibawa Pakatan Rakyat, yang diwakili PAS, semasa kempen pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir.

"Saya sudah bersedia (untuk menghadapi) dan sedar bahawa mereka akan menggunakan serangan peribadi (ketika kempen)," kata beliau ketika ditemui selepas majlis perasmian Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Permatang Pauh di Politeknik Seberang Perai dekat sini sebentar tadi.

Menurut Rohaizat, peguam dari Ibu Pejabat Umno akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenainya petang ini.

Malam tadi ketika ditemui mStar Online di Sungai Dua dekat sini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, pihaknya mempunyai "satu isu penting yang akan digunakan" dalam kempen kali ini.

Isu tersebut berkaitan dengan calon BN, kata beliau tanpa mengulas lanjut.

Bagaimanapun jelas beliau, isu tersebut hanya akan digunakan jika keadaan memerlukan mereka berbuat demikian.

"Beliau ada masalah, kita akan dedahkan nanti jika keadaan mendesak. Bagaimanapun kami tidak akan menggunakan serangan peribadi," kata beliau yang sebelum itu menghadiri Majlis Jamuan Makan Malam Bersama Pemimpin bersama Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa di Sungai Dua.

Rohaizat, 38, diumumkan sebagai calon BN kelmarin. PAS juga mengumumkan calonnya - Mohd. Salleh Man, 52, kelmarin.

Rohaizat merupakan Setiausaha Umno Permatang Pauh manakala Salleh pula Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang.

PAS bertanding mempertahankan kerusi Permatang Pasir - kerusi tunggal parti itu di DUN Pulau Pinang.

Penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pasir diadakan pagi esok.

Ketika ditanya sama ada tindakan sedemikian akan menjejaskan peluang di Permatang Pasir, Rohaizat memberitahu: "Saya tidak fikir begitu."

"Kami akan menjawab," kata Rohaizat sambil menambah, beliau sedar isu yang cuba hendak dibangkitkan oleh PAS itu.

Sambil menekankan bahawa beliau bukan peguam yang amalkan khidmat guaman secara langsung, Rohaizat menjelaskan, isu itu sebenarnya tiada kaitan dengannya.


sumber : mstar online

No comments: