Followers

Friday, March 27, 2009

Beri Peluang Barisan Baru- Hishammuddin


KUALA LUMPUR 27 Mac - Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta semua pihak terutamanya dalam UMNO memberi peluang kepada barisan baru parti itu membuktikan kemampuan mereka.

Naib Presiden UMNO itu berkata, mereka tidak seharusnya melihat dari sudut negatif kemenangan seseorang pemimpin terutamanya Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
''Masalahnya dalam UMNO kita hanya lihat secara negatif, kenapa tidak melihat pemilihan jawatan lain yang diterima oleh orang ramai. Contohnya kemenangan Datuk Razali Ibrahim bagi jawatan Naib Ketua Pemuda dan Datuk Mustapa Mohamed yang mendapat undi terbanyak anggota Majlis Tertinggi.

''Justeru saya minta semua pihak berilah masa untuk kami buktikan, lihat dari segi positif dan negatif, kemudian buatlah keputusan dalam tempoh tiga tahun,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia, ketika diminta mengulas pelbagai tafsiran negatif yang dibuat berikutan kemenangan Khairy menerajui sayap parti itu.

Khairy dipilih menduduki kerusi Ketua Pemuda selepas menewaskan dua lagi calon lain, Datuk Mukhiz Mahathir dan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dalam pemilihan yang diadakan pada Rabu lalu.

Kemenangan Khairy dikatakan menjadi bualan hangat kerana beliau sebelum itu diberi amaran oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana dikatakan terlibat dalam politik wang.

Menjawab satu soalan, Hishammuddin berkata, jika keputusan pemilihan UMNO tidak diterima oleh rakyat hari ini, parti itu mempunyai masa tiga tahun untuk meyakinkan mereka.
''Semua pihak kena terima ini proses amalan demokrasi dalam UMNO dan perwakilan UMNO telah membuat keputusan dan kita akan berhadapan dengan pilihan raya tiga tahun daripada sekarang.

''Jadi kalau tiga tahun dari sekarang rakyat masih tidak terima, yang akan terima padah ialah parti kita, tidak mungkin siapapun yang marah akan tergamak merosakkan parti kerana individu tertentu,'' katanya.

Ditanya adakah mungkin perasaan tidak puas hati itu akan diterjemahkan oleh rakyat dalam tiga pilihan raya kecil yang bakal berlangsung pada 7 April ini, Hishammuddin berkata, ia tidak akan berlaku.

''Ini kerana dalam pilihan raya berkenaan, kita akan menggabungkan kekuatan lama dan baru bagi menggerakkan jentera berkempen,'' katanya yang diberi tanggungjawab mengepalai jentera di Bukit Selambau.

Hishammuddin berkata, Khairy mengakui bahawa beliau tidak mendapat sokongan padu daripada pergerakan itu berikutan pertandingan berkenaan melibatkan tiga penjuru.

''Tetapi ketiga-tiga mereka sudah berikrar akan tetap bekerjasama biarpun kalah dan saya sendiri tidak akan melepaskan Pemuda begitu sahaja, sebaliknya akan terus memantau dan memberi bimbingan agar semua ahli Pemuda kembali bersatu selepas pertandingan,'' katanya.

1 comment:

Mohd Rafiq Naizamohideen said...

salam sahabat...
saya juga sependapat dengan anda. menolak kepimpinan kj... Jangan disebabkan setitik nila rosak susu sebelanga.. :)

www.mohd-rafiq.blogspot.com